Tuesday, June 28, 2011

Berita Sekolah : SMTKL mahu jadi SMT terbaik

Bekas sekolah aku masuk 'newspaper' kot.. Cerita mengenai SMTKL yang disiarkan di ruangan portal pendidikan,ADAP, Utusan Malaysia, 19 Mei 2011.

Artikel  Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my







Ni rupanya pengetua baru..;p
SEKOLAH  Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) merupakan sekolah teknik tertua di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1926 bagi melatih anak-anak Melayu dari Negeri-negeri Bersekutu dalam bidang kemahiran teknikal. 

Sebelum 1962, sekolah ini dikenali dengan nama lain seperti The Federal Malay State Trade School, Junior Technical Trade School dan juga Technical Institute of Kuala Lumpur.

Pada April 2008, SMTKL telah diangkat menjadi Sekolah Menengah Teknik Kluster Kecemerlangan kerana pencapaian yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Pengetua Cemerlangnya, Karteni Osman berkata, pihak sekolah sangat berbangga dipilih sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dan ini dicapai melalui kemampuan sekolah dalam melahirkan pelajar cemerlang yang seterusnya menyumbang kepada meningkatkan prestasi sekolah. 

"Pihak sekolah akan terus berusaha gigih bagi mengekalkan status Sekolah Kluster dan dalam masa yang sama bercita-cita untuk mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang termasuk dalam matlamat pendidikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdapat empat jurusan yang ditawarkan di sekolah ini iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Perdagangan dengan bilangan pelajar tingkatan empat dan lima seramai 630 orang.

Sekolah turut diperkuatkan dengan tenaga pengajar seramai 60 orang guru serta dibantu oleh 20 kakitangan sokongan.

Menurut beliau lagi, SMTKL menduduki tempat kedua sekolah-sekolah menengah teknik terbaik di seluruh negara dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Selama dua tahun berturut-turut sekolah ini menduduki tempat kedua SMT terbaik di seluruh negara dan kami pihak sekolah akan berusaha lebih gigih bagi menjadi sekolah teknik terbaik pada masa akan datang.

"Walau bagaimanapun, sekolah ini mendapat tempat pertama di kalangan sekolah menengah teknik dan vokasional (SMTV) seluruh negara bagi tiga kursus teknikal yang ditawarkan," ujarnya.

Tiga bidang kebitaraan sekolah pula ialah Jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pasukan Kadet Bomba dan Pasukan Bola Jaring.

Tambah beliau, sekolahnya merupakan SMTV terbaik dalam Zon Tengah merangkumi negeri Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka dalam pencapaian SPM.

"Seramai 38 pelajar sekolah ini telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A, 9A serta 10A dalam SPM 2009 dan  jumlah itu meningkat kepada 44 pelajar pada tahun lalu.

"Jumlah pencapaian semua A dalam SPM masih lagi belum memuaskan dan pihak sekolah akan berusaha lebih gigih dengan mengadakan pelbagai program pengukuhan akademik bagi meningkatkan pencapaian tersebut pada masa akan datang," terangnya.

Karteni memberitahu, antara Program Peningkatan Mata Pelajaran yang telah sedia diadakan di sekolah ini termasuklah Kumpulan Pelajar Dinamik, Kaedah Kumpulan Belajar Sama, Pembelajaran Kendiri, Program Catalyst, Ekspedisi Ilmu, Eksplorasi A Star, Program Motivasi, Sistem Mentor Mentee, Program Achievers, Program Prep Malam Terbimbing dan lain-lain.

"Program-program ini disusun bagi memberi bimbingan secukupnya kepada para pelajar terutamanya dari segi akademik dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian mereka," tambahnya.

Katanya lagi, pihak sekolah berharap agar kemenjadian pelajar di sekolah ini terus meningkat dan mencapai tahap yang membanggakan dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti kepada negara.

"Pihak sekolah akan terus berusaha gigih bagi mencapai matlamat untuk menjadi SMTV terbaik di negara ini.

"Ia tidak mustahil untuk dicapai jika semua pihak termasuklah guru-guru, para pelajar dan pihak ibu bapa sama-sama berganding bahu dan menyumbang tenaga dan usaha untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam apa jua bidang," terangnya.

Pencapaian Sekolah:

2005     - Tempat Pertama Anugerah Kualiti Koperasi Wilayah Persekutuan
    - Tempat Ketiga Anugerah Sekolah Harapan Negara
2007    - Tempat Pertama Anugerah Koperasi Sekolah
    - Tempat Pertama Anugerah Inovasi Negara
2008    - Tempat Kedua Anugerah Pusat Sumber Terbaik Wilayah Persekutuan
2010    - Tempat Kedua Pencapaian SPM 2009 (Antara Teknik)
2010    - Tempat Ketujuh Pencapaian SPM 2009 (Kuala Lumpur)


Pencapaian Kokurikulum:

2009    - Tempat Ketiga Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum (Lelaki Menengah) Peringkat Kebangsaan
    - Johan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum (Lelaki Menengah) Peringkat Negeri
    - Johan Kadet Bomba & Penyelamat Peringkat Negeri
    - Johan Kelab Teknikal Peringkat Negeri
    - Naib Johan Pesta Pantun Peringkat Negeri
2010    - Tempat Kelima Ekiden Run Peringkat Antarabangsa
    - Johan Bahas Bahasa Inggeris Peringkat Negeri
    - JOhan Bola Jaring Peringkat Negeri
    - Naib Johan Rekacipta Peringkat Negeri
    - Johan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan
    - Johan Reka Cipta (KAT) Peringkat Negeri
    - Naib Johan Reka Cipta Grafik Kerjaya Peringkat Negeri


sumber : adap.com.my

2 comments:

kaizen said...

asal KRS x sebot lak?? ni aku hangin nih.... hahaha

Harmi bin Mohammad Jamil said...

Dijemput pasukan bahas sekolah Saudara untuk menyertai bengkel bahas Bahasa Melayu ala Parlimen pada hari Sabtu, 26 Januari 2013 bertempat di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah merujuk http://belajardebat.blogspot.com

Terima kasih.

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons